Kembali ke Sepang Bersama Generasi Baharu
Berpeluang menerima jemputan daripada rakan untuk menghadiri Sepang Parade Drive baru-baru ini pada 11 Februari sememangnya menggamit memori lama. Kali terakhir saya masuk ke dalam litar Sepang adalah sekitar 15 tahun yang lepas. Apa yang membuatkan sesi kali ini lebih bermakna ialah saya dapat membawa anak lelaki saya bersama-sama untuk merasai sendiri pengalaman berharga berada di dalam litar lumba kebanggaan negara ini.
Sebelum bergerak, persiapan rapi tetap dibuat. Sediakan payung sebelum hujan—minyak enjin ditukar baru terlebih dahulu demi memastikan kelancaran jentera walaupun ini hanyalah sesi parade santai.



Himpunan Jentera JDM & Klasik Meleleh
Sebaik tiba di perkarangan North Paddock, suasana dipenuhi dengan deruan enjin jentera-jentera hot hatch dan JDM klasik yang jarang-jarang dapat dilihat berkumpul dalam jumlah yang banyak. Antara jentera yang mencuri tumpuan sepanjang konvoi dan sesi fotografi di dalam litar termasuklah:
- Toyota Starlet (EP70 & pelbagai variasi) — Memang meriah, merata-rata nampak kelibat otai hatchback ini!
- Mazda B8 & Daihatsu Charade — King jalanan era 90-an yang masih kekal mantap.
- Mitsubishi Colt & Honda Civic EK 2-Door — Aura JDM tulen yang tak lapuk dek zaman.
- Datsun Wagon — Tampil unik dengan estetik retro yang sangat kemas.
Ramai juga yang berseloroh bertanya sama ada jentera Aeroback saya dikira sebagai hot hatch atau tidak, memandangkan reka bentuknya yang sedikit panjang. Bagi saya, apa yang paling penting adalah semangat (passion) yang dikongsi bersama.








Pengalaman 3 Pusingan Yang Menenangkan
Selepas selesai taklimat pemandu (driver briefing), semua jentera dilepaskan masuk ke dalam litar di belakang safety car. Bergerak dengan kelajuan yang selamat dan santai sepanjang 3 pusingan, sesi ini digunakan sepenuhnya untuk menikmati setiap selekoh Sepang, mengambil gambar kenangan, dan paling penting, memberikan pengalaman automotif pertama yang takkan dilupakan oleh anak saya.
Terima kasih kepada barisan rakan-rakan komuniti yang menjayakan acara ini. Jumpa lagi di trek masa hadapan!






